Malah, pasukan pendakwaan berhujah
bahawa Musa gagal menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan susulan di luar negara.

Itu merupakan antara intipati hujahan pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim Shoib dalam permohonannya untuk menyemak semula keputusan hakim Mahkamah Sesyen yang membenarkan 
Musa mendapatkan pasport antarabangsanya bagi tujuan rawatan kesihatan di luar negara.

Salim ketika pendengaran permohonan itu berhujah, tiada sebarang rekod dikemukakan oleh Musa yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan berkenaan yang menyatakan bahawa pemeriksaan ujian darah, ujian elektrokardiogram (ECG) dan beberapa ujian lain tidak boleh dibuat di Malaysia.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Musa berhujah bahawa anak guamnya telah mendapatkan rawatan di London sejak 1996 dan beliau mengambil risiko sendiri apabila pulang ke tanah air ketika masih dalam rawatan pada Ogos lalu bagi memberi kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan esok untuk keputusan permohonan pihak pendakwaan untuk semakan tersebut.

Pada 7 Januari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membenarkan Musa, 68, untuk mendapatkan sementara pasportnya bermula 15 Januari dan 10 Februari bagi tujuan rawatan dengan meletakkan beberapa syarat tambahan.

Antaranya, Musa perlu melapor diri di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan Pejabat Kedutaan Malaysia di London setiap tiga hari sekali sepanjang tempoh berada di London antara 23 Januari dan 8 Februari selain perlu terlebih dahulu 
mengemukakan alamat penginapannya ketika berada di Singapura dan London, sebelum pasport antarabangsanya dapat dilepaskan.

Mahkamah memerintahkan Musa untuk memulangkan semula pasport selewat-lewatnya pada 11 Februari dan jaminan terhadapnya ditetapkan RM200,000 dan wang itu akan dikembalikan semula selepas Musa menyerahkan pasport antarabangsanya ke mahkamah setelah kembali daripada menerima rawatan.

Pada 5 November tahun lalu, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri berkenaan berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313) yang didakwa dilakukan di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008. - UTUSAN ONLINE.