Hakim Mahkamah Sesyen, M.M Edwin Paramjothy menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan ketika sebutan kes tersebut hari ini.

Sehubungan itu reman Roger akan disambung sehingga Isnin ini.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Roger memberitahu, hari ini sepatutnya merupakan hari terakhir anak guamnya berada dalam tahanan.

Hock Chuan dalam permohonan lisannya berkata, dia mempunyai masa yang terhad untuk berjumpa dengan anak guamnya sepanjang berada dalam tahanan sejak November lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Syahril Nik Ab. Rahman berkata, pihaknya membantah permohonan itu kerana ia tidak dibuat secara rasmi.

Pada 12 Disember lalu, kerajaan memfailkan permohonan mengekstradisi Roger atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa ke Amerika Syarikat untuk berdepan tiga pertuduhan jenayah berkaitan 1Malaysia evelopment Berhad (1MDB).

Permohonan itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara bagi pihak kerajaan Amerika yang mahu Ng dihantar balik ke Amerika untuk berdepan pertuduhan di Mahkamah Persekutuan di daerah timur New York.

Pada 1 November tahun ini, Roger ditahan polis dan kemudiannya direman 60 hari sementara menunggu permohonan ekstradisi itu didengar dan Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Disember menolak permohonannya untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu permohonan ekstradisi itu didengar atas alasan terdapat kemungkinan dia melarikan diri dari negara ini. - UTUSAN ONLINE