Permohonan kelima-lima defendan iaitu pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang, pengarah hospital itu, doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor serta kerajaan Malaysia akan diputuskan oleh Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.


Peguam Eliza Bakar yang mewakili plaintif ketika dihubungi memberitahu, sekiranya permohonan berkenaan ditolak, kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan dan tarikhnya akan ditetapkan kelak.


Remaja itu melalui ibunya, selaku plaintif memfailkan saman pada 19 Julai tahun lalu terhadap seorang pembantu perubatan dan lima lagi kerana cuai sehingga menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.


Berdasarkan pernyataan tuntutan plaintif, remaja yang berumur 10 tahun ketika kejadian mendakwa defendan pertama tidak mengikut prosedur yang ditetapkan kerana telah memotong keseluruhan kepala kemaluannya atau ‘glans penis’ kemudian membuat penyambungan semula dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.


Dakwa plaintif, semasa anaknya berada di Hospital Kuala Lipis, defendan kedua tidak memberikan rawatan segera selain tidak memaklumkan kepada plaintif serta anggota keluarganya bahawa keseluruhan kepala alat sulit itu terputus sebaliknya hanya dimaklumkan saluran kencing anaknya telah terpotong.


Plaintif mendakwa anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi menjalankan pembedahan menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar, namun selepas masuk hari ke-35, plaintif terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.


Plaintif juga mendakwa defendan keempat memberi jaminan glans penis berkenaan kemungkinan akan tumbuh apabila anaknya mencapai usia akhir baligh, namun plaintif mendakwa apabila anaknya mencapai usia 17 tahun, kepala zakarnya tidak tumbuh dan remaja berkenaan mengalami kecacatan kekal di mana kemaluannya tidak dapat disambung semula.


Akibat kecacatan kekal itu, remaja berkenaan telah berubah sikap menjadi seorang yang amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya serta tidak faham dunia seksualiti. - UTUSAN ONLINE.