Hakim Mahkamah Sesyen, Sazlina Safie menetapkan tarikh itu semasa kes disebut di hadapannya kerana Koroner Dazuki Ali yang mendengar perbicaraan inkues tersebut berkursus selama tiga hari bermula hari ini.

Kes itu pada asalnya dijadualkan untuk keputusan hari ini, selepas 20 saksi inkues selesai memberi keterangan pada prosiding yang bermula pada 11 Disember tahun lalu.

Prosiding inkues diadakan untuk mengetahui jika wujud kecuaian atau jenayah dalam kematian Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, 5, pada pukul 11 pagi, 25 September 2016 yang dirempuh salah sebuah kenderaan jenis go-kart yang mengambil bahagian.

Kenderaan itu dipercayai terbabas selepas berlaku pergeseran antara tiga go-kart pada perlumbaan itu, dan rempuhan menyebabkan Izwan mengalami kecederaan teruk di dada manakala anaknya meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Prosiding inkues itu dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abidin, peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur dan Che Ariffin Mohd. Ali selaku wakil keluarga mangsa.

Inkues itu turut diwakili peguam Mohd. Syahril Daud mewakiki Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Juliana Abu Bakar dan Rosmah Rosli (Majlis Perbandaran Kuantan) dan Ahmad Hazwan Hamdan mewakili Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser. - UTUSAN ONLINE