Ini kerana badan berkanun tersebut tidak mempunyai masalah untuk membayar gratuiti pesara tentera dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

“Saya menegaskan bahawa tiada sebarang kelewatan pembayaran kepada pencarum-pencarum tentera. Kedudukan kewangan plaintif (LTAT) atau kontrak bersama 1MDB bukanlah penyebab kelewatan pembayaran kepada pencarum,” ujar Timbalan Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Zakaria Sharif.

Beliau berkata demikian dalam pernyataan saksinya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman LTAT terhadap Rafizi yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung kelewatan pembayaran gratuiti pesara angkatan tentera, dua tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Zakaria, semakan ke atas 110 nama yang diserahkan oleh Ahli Parlimen Pandan itu selaku defendan mendapati kesemua pencarum terlibat telah menerima gratuiti masing-masing

“Daripada 110 nama yang diterima, 69 orang telah dibayar antara 16 Mac hingga 4 April 2016 dalam tempoh 24 jam selepas dokumen lengkap diterima. Seorang lagi pula telah dibayar lebih dari 10 tahun lalu iaitu pada Februari 2007.

“Terdapat pesara yang tidak menerima bayaran kerana berlakunya kegagalan pengesahan cap jari namun pada 15 April 2016, kesemua 110 nama pesara tentera telah dibayar sepenuhnya,” ujar saksi berkenaan.

Tambah Zakaria, tindakan defendan mengeluarkan kenyataan tersebut adalah bermotifkan politik dan tidak mempunyai sebarang asas.

Dalam saman yang difailkan pada 6 Mei 2016, LTAT mendakwa pemimpin pembangkang itu di dalam laman blog dan laman Facebooknya pada 21 Mac 2016 telah mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Bayaran gratuiti pesara angkatan tentera lewat; LTAT perlu dedahkan risiko kewangan akibat 1MDB’.

Pihak plaintif mendakwa, Rafizi turut mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Rafizi: I have document showing LTAT’s link to 1MDB’ melalui portal berita Malaysiakini pada 24 Mac 2016 dan pada 28 Mac 2016, Rafizi didakwa mengulangi kenyataannya di laman Facebooknya dengan tajuk ‘Laporan ketua audit negara ke atas 1MDB mengesahkan kesan masalah kewangan 1MDB ke atas LTAT”.

Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa kenyataan Rafizi secara semula jadi bermaksud bahawa LTAT langsung tidak menjaga faedah dan kebajikan pesara tentera dengan menuduhnya ada kelewatan sehingga enam bulan untuk membayar caruman atau gratuiti kepada pesara.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung 27 April ini.

Habis...