Pengerusinya, Siti Salwa Musa memutuskan demikian setelah mendapati Amran bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan salah laku membabitkan kenyataan memfitnah pihak pengurusan dan syarikat UMMB melalui tiga artikel yang disiarkan di laman web portal propembangkang, Malaysiakini dan Harakahdaily pada tahun 2009.

“Setelah mempertimbangkan dan menilaikan keseluruhan kete­rangan, mahkamah mendapati bahawa pihak syarikat telah berjaya membuktikan atas imbangan kebarangkalian salah laku pihak yang menuntut (Amran) seperti dalam ketiga-tiga pertuduhan.

“Mahkamah mendapati bahawa kenyataan Amran yang di­siarkan dalam artikel di laman web Malaysiakini pada 26 Jun 2009 dan 24 April 2009 dan di lawan web Harakahdaily pada 20 April 2009 adalah tidak benar dan telah memfitnah syarikat,” katanya.

Menurut penghakiman bertarikh 20 Oktober lalu, Siti Salwa bersetuju dengan hujah peguam, S. Rutheran dan Yeoh Wan Xin yang mewakili UMMB bahawa salah laku Amran adalah serius kerana bekas wartawan Utusan Malaysia itu bukan sahaja telah membuat kenyataan tidak benar, malah telah mencemarkan imej dan reputasi syarikat di mata umum.

Menurut fakta kes, Amran yang mula bekerja dengan UMMB sebagai wartawan kadet pada 1 Julai 2001, telah menga­du kes pembuangan kerjanya oleh syarikat pada 3 September 2009 ke Jabatan Perhubungan Manusia dan pada 20 September tahun sama, Menteri Sumber Manusia telah merujuk kes itu ke Mahkamah Perusahaan.

Sebelum diberhentikan, Amran telah diberi surat tunjuk sebab dan siasatan dalaman dijalankan atas tiga pertuduhan salah laku kerana mengeluarkan kenyata­an memfitnah pihak pengurusan syarikat melalui tiga artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini dan Harakahdaily berhubung isu ‘tiang gol dan kerja pengubahsuaian pejabat cawangan Pulau Pinang’.

Dalam penghakimannya, Siti Salwa menyatakan, mahkamah mendapati kos pembinaan tiang gol dan jaring penghadang tiang gol di padang bola yang sebenar adalah berjumlah RM48,058.29, bukannya RM160,000 atau RM180,000 seperti yang didakwa oleh Amran dalam artikel berke­naan.

Jelas beliau, Amran telah terkeliru dengan terminologi cantilever steel support dan goal post fencing yang digunakan dan telah membuat kesimpulan salah, oleh itu kenyataannya berhubung kos pembinaan tiang gol dan ja­ring penghadang tiang gol bukan sahaja salah daripada segi fakta tetapi juga mengelirukan.

Selain itu, kata pengerusi tersebut, mahkamah menerima keterangan saksi-saksi syarikat dan mendapati bahawa per­belanjaan pihak syarikat bagi kerja-kerja pengubahsuaian pejabat telah dilakukan dengan telus apabila tawaran kerja-kerja berkenaan telah dibuat secara terbuka.

“Dokumen-dokumen dikemukakan pihak syarikat me­nunjukkan bahawa kerja-kerja yang dilakukan adalah mengikut spe­sifikasi yang ditetapkan iaitu kos bukan sahaja meliputi kerja-kerja pengubahsuaian di pejabat baharu cawangan malahan me­rangkumi kerja-kerja perpindahan dari pejabat lama melibatkan perabot, fail, rekod, komputer dan kos penanggalan mesin pen­dingin hawa dan kos pemasangannya semula di pejabat baharu,” katanya.