Muhammad Shafee Abdullah

Anwar ketika itu merupakan bekas timbalan perdana menteri yang pertama di Malaysia didakwa di mahkamah jenayah.

Kelmarin, ketika peminat bola sepak di negara ini dan seluruh dunia sedang dilanda demam Piala Dunia yang berlangsung di Rusia, Datuk Seri Najib Tun Razak seakan menerima nasib serupa apabila beliau menjadi perdana menteri yang pertama di negara ini yang diheret ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan jenayah.

Kes berprofil tinggi yang menarik perhatian seluruh dunia itu berlaku 56 hari selepas Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya menumbangkan parti pemerintah yang paling lama dalam dunia demokrasi, Barisan Nasional (BN) yang ketika itu diterajui oleh Najib.

Namun dalam suasana gegak gempita pendakwaan pada 4 Julai yang mencatat sejarah negara iaitu sehari selepas bekas Presiden UMNO itu ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), adakah pihak pendakwaan te­lah bersedia sepenuhnya untuk meneruskan kes mereka?

Persoalan itu timbul apabila berlaku perbalahan di Mahkamah Tinggi ketika peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib meminta pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Negara, Tommy Tho­mas menyerahkan dokumen berkaitan kes anak guamnya kepada pihak pembelaan sebelum pengurusan kes pada 8 Ogos ini.

Tommy bagaimanapun menegaskan, permintaan Muhammad Shafee untuk dibekalkan dengan dokumen kes sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan adalah tidak munasabah.

Jawapan tersebut sebaliknya dibidas oleh Muhammad Shafee yang menyatakan pihak pendakwaan sepatutnya sudah bersedia untuk menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan kepada pasukan pembelaan sekiranya mereka mengambil langkah mendakwa Najib pada hari tersebut.

“Jika anda men­dak­wanya (di mah­kamah) hari ini, ini bermakna anda telah bersedia! Saya tidak dapat ba­yangkan anda akan dakwa seseorang tetapi dokumen-dokumen (mengenai kes) masih belum disediakan. Fotostat sahaja dokumen-dokumen itu dan serahkan kepada kami!” ujarnya di mahkamah.

Di luar mahkamah, Muhammad Shafee mendakwa tidak menerima sebarang dokumen lain kecuali kertas pertuduhan.

“Jika kamu tidak diberikan dokumen untuk kamu teliti pertuduhan secara terperinci, bagaimana kamu hendak mempertahankan diri kamu?” soal peguam tersebut yang pernah menjadi timbalan pendakwa raya pada awal karier guamannya.

Beliau turut membandingkan pengalamannya sewaktu mewakili bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menghadapi tuduhan gagal mengisytiharkan baki wang yang hendak dibawa keluar dari Australia pada 1996.

Kata peguam itu, pihak pendakwa raya bersama pegawai penyiasat kes itu telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kes tersebut kepada­nya pada hari Muhammad dituduh di mahkamah.

Di negara ini, sudah menjadi kelaziman dokumen-dokumen kes diserahkan kepada pembela­an selepas tarikh perbicaraan ditetapkan dan bukannya pada hari pertama tertuduh didakwa di mahkamah.