“Sedangkan jumlah yang telah dibayar kepada kamu sudah banyak dan memadai tetapi kamu memilih untuk membuat kesalahan ini. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada kamu bahkan kepada keluarga kamu juga.”

Demikian nasihat seorang Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini sebelum menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1 juta terhadap seorang pengarah syarikat komputer dan teknologi maklumat (IT) atas kesalahan mengemukakan pernyataan palsu berhubung pembayaran projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), lapan tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman tersebut selepas Hairuzaki Mohamad Yunus, 40, mengaku bersalah atas pertuduhan memberi kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Dana, Suhaimi Hamzah dengan niat hendak memperdayakan mangsa iaitu satu set dokumen ‘Project Spending Summary, Network Vulnerability Assessment Tools (NVAT)’ yang mengandungi butiran palsu mengenai tuntutan bayaran berjumlah RM200,000 bagi perbelanjaan projek tersebut.

Sedangkan tiada perbelanjaan seperti yang telah dinyatakan itu telah dilakukan di pejabat Seksyen Pengurusan Dana, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), aras 3, Blok C5, Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 2 Mac 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nor Diana Nor Azwa memohon hukuman berbentuk pengajaran atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius selain mengambil kira kerugian yang dialami.

Hairuzaki yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak yang berusia tiga tahun dan dua minggu selain ibunya yang uzur.

“Saya kesal dan insaf atas perbuatan saya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu, disebabkan kesalahan ini, imej saya sudah tercalar dan perniagaan kian merosot,” rayunya sambil menangis.

Mengikut fakta kes, syarikat tertuduh menjalankan perniagaan berkaitan komputer dan ICT. Pada sekitar Ogos 2008, tertuduh telah membuat permohonan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) dana inovasi daripada Mosti berjumlah RM3 juta bagi projek NVAT iaitu projek yang menampilkan produk kreatif serta inovatif dengan pembangunan produk keselamatan IT.

Pada hari kejadian, Hairuzaki telah mengemukakan satu set dokumen ‘Project Spending Summary’ bersama-sama resit, baucar bayaran dan dokumen sokongan kepada Suhaimi di Unit Pengurusan Dana Mosti.

Hasil siasatan mendapati dokumen berkaitan NVAT mengandungi pernyataan palsu tentang butiran tuntutan berjumlah RM200,000 untuk bayaran ‘Subject Matter Expert’ yang sebenarnya tidak dilakukan.

Jika gagal membayar denda, Hairuzaki boleh dipenjara lima tahun.