Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Aliza Sulaiman memutuskan Isaacs selaku plaintif dan juga pentadbir harta mendiang isterinya, Dr. Suzanne Thomas mendapat pampasan berjumlah RM735,596.17 pada prosiding taksiran ganti rugi hari ini.


Ganti rugi tersebut meliputi ganti rugi am sebanyak RM140,000, ganti rugi khas berjumlah RM95,596.17 dan ganti rugi teruk RM500,000. Mahkamah turut memerintahkan kesemua defendan membayar kos sebanyak RM120,000.


Pada 25 April lalu, sembilan doktor dan tiga jururawat dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu dan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan mengakui terhadap liabiliti kecuaian sehingga menyebabkan kematian Suzanne yang juga bekas Penolong Pengarah Jabatan Pesakit Luar hospital sama pada 25 Disember 2014.


Menurut penyataan tuntutan yang difailkan pada 31 Mei 2016, Isaacs yang diwakili peguam Manmohan Singh Dhillon menyatakan isterinya telah memohon untuk dirujuk ke HKL bagi mendapatkan rawatan selepas disahkan mengalami artritis septik pada pergelangan kaki kanannya oleh sebuah hospital swasta pada 20 Disember 2014.


Bagaimanapun, setelah tiba di hospital tersebut, mendiang telah diberikan rawatan bagi penyakit osteoartritis walaupun telah dimaklumkan mengenai diagnosis yang telah dijalankan menyebabkan keadaan Suzanne menjadi teruk.


Plaintif mendakwa pada pagi 21 Disember 2014, isterinya berada dalam keadaan separuh sedar selepas mengalami muntah dan sakit kepala yang teruk pada malam sebelumnya.


Mangsa kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi pada pukul 8.50 malam hari yang sama, dimasukkan tiub dan diberikan bantuan pernafasan namun keadaannya menjadi bertambah teruk sehingga meninggal dunia pada pukul 11.05 malam, 25 Disember 2014.


Sementara itu, Isaacs ketika ditemui memberitahu beliau dan keluarga berpuas hati kes itu telah berakhir dan bersyukur atas ganti rugi yang diberikan oleh mahkamah namun menjelaskan tindakan saman tersebut bukanlah bermotifkan wang ringgit.


“Kehilangannya (mendiang isteri) tidak boleh digantikan dengan wang. Apa yang menyebabkan saya rasa terganggu ialah hospital tempat mendiang pernah berkhidmat gagal memberikan rawatan terbaik dan wajar sewaktu beliau didaftar masuk ke HKL.

“Tujuan saman ini adalah untuk memberi pengajaran kepada hospital terbabit dan hospital lain serta pengamal perubatan agar menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab,” katanya.