Menurut Pakar Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Siti Wira Md. Yaro, 39, dalam pengurusan Bencana Ramai Mangsa ini, salah satu proses yang perlu dilakukan adalah Identifikasi Mangsa Bencana (DVI).

“DVI membabitkan empat fasa iaitu tempat kejadian, bedah siasat, antemortem dan rekonsiliasi. Bagi kes ini, pada hari kejadian, Jabatan Forensik HKL telah menerima 23 mayat dan operasi DVI telah dijalankan bagi fasa antemortem iaitu pengumpulan maklumat mangsa semasa dia hidup daripada waris.

“Maklumat itu melibatkan ciri-ciri fizikal, kecacatan, parut, tatu dan rekod perubatan pergigian,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbicaraan terhadap dua remaja lelaki yang didakwa membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz itu.

Dua remaja tersebut didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Kedua-duanya yang kini berusia 18 tahun dan diwakili peguam Haijan Omar. Setiap tertuduh menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Saksi pendakwaan ke-53 itu dalam keterangannya berkata, beliau telah mengumpul data antemortem serta mengambil sampel darah daripada 18 waris untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) antara pukul 11 pagi dan 8.35 malam, pada hari kejadian di HKL.

Ujarnya, data-data berkenaan kemudian dimasukkan di dalam plastik keselamatan, dilabel dan dimeterai sebelum diserahkan kepada pengawai penyiasat. Turut mengambil spesimen darah waris bagi tujuan DVI adalah dua pegawai forensik HKL, Dr. Nurhidayah Mohd. Yatim dan Dr. Ahmad Dzulkefly.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok dengan pakar patalogi dijangka memberi keterangan. - UTUSAN ONLINE