S. Kumaran, 21, yang be­kerja di sebuah klinik swasta di Pandan Jaya dan turut cedera di kedua-dua belah paha akibat ditembak bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad.

Mengikut pertuduhan, Kumaran bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai berjumlah RM200,000 milik ahli perniagaan terbabit dengan menggunakan sebilah parang dan telah menyebabkan kecederaan semasa melakukan perbuatan itu.

Kejadian didakwa berlaku di luar bangunan bank berkenaan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Jun lalu.

Pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Husnita Mohd Radzi mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam, Shalehhuddin Salam diikat jamin RM10,000 de­ngan seorang penjamin, selain dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sementara menunggu sebutan semula kes pada 19 Julai ini.

Tertuduh dibebaskan selepas membayar wang jaminan tersebut.

Dalam kejadian pada 9 Jun lalu, cubaan tertuduh dan rakannya menyamun ahli perniagaan terbabit membawa padah setelah dia ditembak di bahagian paha oleh pengawal peribadi Datuk Seri terbabit.

Pengawal peribadi ahli perniagaan berkenaan yang berusia 30-an turut cedera akibat terkena libasan parang.