Xavier Andre Justo
Xavier Andre Justo

Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada 22 Jun, iaitu hari bekas eksekutif IT berumur 49 tahun itu ditahan di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand, menurut para pegawai.

Dia didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan denda antara 2,000 baht (RM222) dan 20,000 baht (RM2,223).

Peguamnya, Pranot Kalanuson, memberitahu pemberita beliau akan bertemu Justo ‘dalam minggu ini’ untuk membincangkan tindakan selanjutnya, termasuk sama ada untuk merayu atau tidak terhadap hukuman itu.

Pranot berkata, beliau akan men­dapatkan butiran berkaitan hukuman itu daripada pembantunya memandangkan beliau tidak berada di mahkamah hari ini.

Justo tiba di mahkamah pada 9.10 pagi ini dengan kedua-dua kakinya dirantai, dan memasuki ruang mahkamah yang ditutup kepada media. Dia muncul dari ruang mah­kamah sekitar tengah hari.

Wartawan, sebahagian besarnya dari Malaysia, bertanyakan soalan, namun dia tidak memberi respons dan berjalan berkaki ayam melepasi mereka dengan diapit oleh empat pegawai penjara.

Justo ditahan selepas PetroSaudi memfailkan aduan dan kemudian dibawa ke Bangkok.

Semasa dalam tahanan, dia mengaku cuba memeras ugut dengan menggunakan maklumat yang diperoleh daripada PetroSaudi.

Dia juga mengaku menyerahkan dokumen yang dicuri kepada ‘seorang ahli perniagaan terkemuka dari Malaysia’ yang sebenarnya merupakan Pengerusi The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong, yang tidak melunaskan bayaran seperti dijanjikan. Justo, bagaimanapun, menafikan mengubah dokumen digital itu.

Polis Malaysia juga mahu mene­mubual Justo memandangkan sebahagian daripada maklumat itu berkaitan urus niaga PetroSaudi dengan 1Malaysia Development Bhd, bagaimanapun rakan sejawatan mereka dari Thailand menolak permintaan itu. – BERNAMA