Mohd. Nazri Mohaizi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang, semalam atas tuduhan melakukan pengabaian terhadap anak perempuannya sehingga menyebabkan kematian. UTUSAN /AZLAN HADI ABU BAKAR

Mohd. Nazri Mohaizi, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas kanak-kanak yang berusia setahun enam bulan itu didapati telah melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta hadapan Night Vision Lasers System (M) Sdn. Bhd., No. 17, Jalan Jelatek 2, Jelatek Business Park di sini antara pukul 9.30 pagi dan 5.30 petang, 17 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li tidak mencadangkan jaminan namun Mohd. Nazri yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dibenarkan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan seorang anak dengan pendapatan RM4,000 sebulan sebagai juruukur.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Ampang sebulan sekali dan pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, mangsa maut di dalam kereta selepas tertuduh terlupa dan meninggalkan anaknya selama lapan jam untuk pergi bekerja.

Dikatakan, pada hari kejadian, tertuduh telah membawa mangsa bersamanya berikutan tiada pengasuh pada hari itu.