Mohd. Asrul Alwin Mohd. Yusoff, 32, dan Ainin Syazwani Che Mat Noordin, 22, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah menggunakan per­khidmatan aplikasi Fa­cebook milik mereka dengan profil ‘Rul Yusoff’ dan ‘Ann Syzwni’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, antara pukul 9.53 pagi, 20 Julai dan pukul 7.48 pagi, 21 Julai 2017.

Kedua-dua pautan itu kemudian telah dibaca di restoran Starbucks AEON Alpha Angle, Bandar Baru Wangsa Maju di sini pada pukul 10 pagi, 1 Ogos 2017.

Kedua-dua orang kena saman (OKS) itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Mohd. Asrul Alwin dan Ainin Syazwani yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menyesal melakukan perbuatan tersebut dan kedua-duanya penanggung utama keluarga.

Mohd. Asrul Alwin memberitahu, dia baru sahaja melangsungkan pertunangan dan terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan kerana kekangan kewangan manakala Ainin Syazwani berkata dia baru sahaja tamat belajar dan hanya bekerja sambilan.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Norhani Mohamad Adzhar pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-duanya dan orang awam serta memberi peringatan kepada masyarakat agar menyemak kesahihan berita di portal Sebenarnya.my sebelum berkongsi dalam laman sosial.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor, pada 1 Ogos tahun lalu, seorang lelaki telah membaca status yang dimuat naik oleh kedua-dua OKS, dan hasil siasatan mendapati akaun Facebook itu milik mereka.

Berdasarkan keterangan daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesahkan bahawa status yang menjadi tular itu adalah palsu dan pihaknya membuat laporan polis.