S. Nishanthy, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan

Hakim Mahkamah Sesyen, Zulhelmy Hasan.

Mengikut pertuduhan wanita itu didakwa, sebagai pemandu kereta jenis Proton Persona nombor pendaftaran, AJE 4247 telah memandu kenderaan tersebut secara melulu atau membahayakan orang ramai sehingga menyebabkan kematian seorang penumpang kereta jenis Perodua Axia nombor pendaftaran, VAA6654, bernama Aril Rizqin Sharil yang berusia tiga bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 433.8 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), dalam daerah Hulu Selangor, di sini kira-kira pukul 1 petang, 28 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kemalangan itu, bapa bayi tersebut, Sharil Salleh, 32, ibu, Rafnah Mongudancgal, 35, serta dua abangnya, Aril Hakimi Ashraf, 11 dan Aril Zakuan Haris, 4, cedera ringan.

Bayi yang cedera parah itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Kemalangan itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya dan video kemalangan yang berdurasi 34 saat itu tular di laman sosial Facebook. - UTUSAN ONLINE