Hakim Noradura Hamzah memutuskan demikian tanpa memanggil Huang Qiang, 36, yang berasal dari China membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati terlalu banyak keterangan mangsa yang bersifat andaian semata-mata dan apabila dibandingkan dengan keterangan saksi lain iaitu sepupu mangsa dan pegawai penyiasat dalam kes ini wujudnya percanggahan yang material.

“Kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi-saksi material lain dan saksi bebas iaitu pekerja yang melihat tertuduh dan mangsa ketika kejadian menunjukkan wujudnya lompongan terhadap kes pendakwaan,” katanya.

Menurut Noradura, mahkamah turut mendapati dua elemen utama yang perlu dibuktikan pihak pendakwaan dalam kes di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan tidak dibuktikan sepenuhnya terutamanya elemen perlakuan tertuduh memasukkan zakarnya ke dalam kemaluan mangsa dilakukan tanpa kerelaan mangsa.

“Tiada keterangan mangsa yang menjelaskan tentang isu kerelaan ini dalam perbicaraan.

“Berkaitan isu mangsa tidak melawan tertuduh kerana takut (ketika kejadian) adalah tidak dapat diterima kerana mangsa seorang atlet yang mempunyai susuk badan tegap dan cergas yang mampu melawan untuk mengelak kejadian itu berlaku,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang diwakili peguam, Mohd. Hisham Md. Nen di­dakwa merogol mangsa yang berusia 20 tahun satu bulan ketika kejadian di dalam Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini pada pukul 5.30 petang, 26 September 2017.

Tertuduh yang telah mendapat taraf warganegara Malaysia itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 19 Januari lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Hafizza Sauni yang mengendalikan pendakwaan telah memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan.

Huang Qiang yang menutup muka menggunakan topeng mulut ketika ditemui pemberita di luar mahkamah sempat berkata dalam bahasa Mandarin, dia menerima keputusan ini dan mahkamah telah berlaku adil kepada dirinya sebelum bergegas meninggalkan kompleks mahkamah.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang jurulatih berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa merogol seorang atlet wanita kebangsaan selepas satu laporan polis dibuat oleh ibu bapa atlet berkenaan pada 29 September tahun lalu.