Cheok Chuan Huei, 36, didakwa melakukan pertuduhan tersebut di Jalan 2/6 Pandan Perdana, Hulu Langat, dekat sini, kira-kira pukul 8 pagi, 3 Januari 2017.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memandu kenderaan bernombor pendaftaran MCC 809 sehingga menyebabkan kematian terhadap pejalan kaki, Lai Nyiat Min.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM7,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan menanggung isteri dan anak serta mempunyai pendapatan hanya RM2,500 sebulan.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali kemudian membenarkan Chuan Huei diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai serta menetapkan 5 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. - UTUSAN ONLINE