Sam Ke Ting, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Salina Omar.

Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai pemandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 didakwa memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini pada pukul 3.20 pagi, 18 Februari lalu.

Mangsa yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimee, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd. Azhan, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14, dan Haizad Kasrin, 16.

Pendakwaan terhadap Ke Ting dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan negeri, Roslan Mat Nor mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 serta lesen memandu digantung.

Salina membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sementara lesen memandu digantung sehingga kesnya selesai selain menetapkan pengurusan kes pada 13 April ini.

Terdahulu, semasa memohon jumlah jaminan yang rendah, peguam Faizal Mokhtar yang mewakili Ke Ting berkata, tertuduh bukan anak orang kenamaan bergelar Datuk seperti yang disebarkan dalam media sosial sebaliknya merupakan individu biasa yang bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Beliau berkata, anak guamnya juga masih menetap bersama-sama ibu bapanya termasuk empat beradik lain di sebuah rumah teres di bandar raya ini.

“Tertuduh juga bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan dan fasih berbahasa Melayu, cuma memohon kertas pendakwaan dibacakan dalam bahasa Mandarin bagi mengelakkan berlaku kekeliruan,” katanya yang mewakili Ke Ting bersama-sama peguam Bustaman Menon.

Menurut Faizal, tertuduh juga sedar banyak pihak terkesan dengan kejadian tersebut, termasuk ahli keluarga mangsa yang maut.

Dalam kejadian kemalangan berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah itu, sekumpulan remaja lelaki berbasikal dirempuh sebu­ah kereta Nissan Almera dipandu seorang wanita hingga menyebabkan lapan daripada mereka maut, manakala lapan lagi cedera.