Tertuduh, Siti Nur Amirah Abdullah Amiran, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Keat.


Tertuduh didakwa telah menyembunyikan kelahiran janin lelaki berusia enam bulan dengan menanamnya di tepi sebuah rumah di Kampung Padang di sini kira-kira pukul 4 petang pada 19 November lalu. 


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin sebelum itu mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan dengan seorang penjamin. 


Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai jurujual dan menanggung empat lagi anak yang masih kecil selain suaminya tidak bekerja. 


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari 2019 sebagai tarikh sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE