Di hadapan Majistret Nor Azizah Aling, tertuduh Mohd. Kamal Jamaluddin, 54, yang beralamat di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini dengan tenang mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan ke atasnya.

Dia yang bertubuh tinggi lampai itu didakwa mela­kukan kesalahan tersebut dengan menggunakan guli kaca pada waktu petang dan malam antara 15 dan 18 Di­sember lalu di Jalan Kampung Tengah dan Jalan Kampung Baru Seri Teruntum di sini.

Perbuatan tertuduh didakwa menyebabkan tiga pemilik kereta kerugian RM950 selepas cermin kereta mereka pecah apabila guli tersebut mengenai cermin sisi atau cermin belakang kereta mereka.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah mengurangkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan perlu menanggung dua anak berusia belasan tahun.

“Isteri saya sudah tiada. Pendapatan bulanan saya ialah RM3,000 sebulan yang digunakan untuk menanggung kami tiga beranak,” katanya.

Nor Azizah membenarkan jaminan tertuduh pada jumlah RM7,500 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk lantikan peguam.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan kesalahan sama sehingga menyebabkan kerugian RM400 kepada pemilik kereta pada 9.30 malam, 27 Ogos lalu di Jalan Kampung Jawa, di sini. – BERNAMA

Nurunaim membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Januari depan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor V. Muneswaran. - BERNAMA