Moktar Ali, 61, didakwa menipu ahli lembaga masjid itu dengan memperdayakan mereka supaya bersetuju untuk menjual tanah milik masjid tersebut kepada seorang individu, Yong Lang Yeow, 66, dengan nilai berjumlah RM140,000.

Moktar didakwa menipu ahli lembaga dengan menyatakan masjid berkenaan mengalami masalah kewangan yang serius dan menanggung beban hutang cukai tanah yang tinggi, sehingga mendorong mereka bersetuju menjual tanah tersebut, sedangkan masjid itu mempunyai dana yang mencukupi.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Masjid Al-Hamideen, KM1, Kampung Bukit Cina, di sini antara Disember 2005 dan Januari 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Laila Mohamed Nazil menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Namun, peguam Sulaiman Harmain Shah, yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengurangkan jaminan sehingga RM5,000 atas alasan anak guamnnya yang berkhidmat sebagai pegawai serata di Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka perlu menanggung isteri dan anak yang masih bersekolah.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan Moktar diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA