Kebenaran itu diberikan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Aziah Ali. 


Mahkamah membenarkan pemohon-pemohon mengemukakan tiga daripada empat persoalan undang-undang yang dikemukakan dalam rayuan penuh yang akan ditetapkan pada satu tarikh lain kelak.


Pada 25 Mei lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengumumkan satu keputusan penting bahawa anak luar nikah pasangan beragama Islam tidak perlu lagi mengunakan bin atau binti ‘Abdullah’. 


Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu dan kedua ibu bapanya (identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah).


Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos tahun lalu yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.


Hakim Abdul Rahman Sebli dalam penghakiman bertulisnya berpendapat, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak tidak wajar dan di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan `Abdullah’ sebagai nama keluarga dalam sijil kelahiran seorang kanak-kanak luar nikah.


Ibu dan bapa kanak-kanak itu (perayu kedua dan perayu ketiga), kedua-duanya beragama Islam bernikah pada 24 Oktober 2009. Kanak-kanak lelaki itu yang merupakan anak tak sah taraf, lahir pada 17 April 2010 iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam). - UTUSAN ONLINE.