Menurut ­Pe­ga­wai Perubatan Ja­ba­tan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nur Suraya Jamaluddin, 33, hal itu berlaku berikutan paras enzim kolinesterase yang terlalu rendah.

“Secara ringkas, enzim koli­nes­terase berperanan untuk menjaga keseimbangan pengecutan dan pengenduran otot serta kawalan kelenjar termasuk otot paru-paru. Enzim itu berfungsi untuk memecahkan kolin (cholin) di hujung saraf bagi membolehkan pe­ngenduran berlaku dan otot boleh berada dalam keadaan relaks selepas mengecut.

“Sekiranya paras enzim terla­lu rendah, otot paru-paru akan te­rus­ mengecut, salur pernafa­san­ menghasilkan lendir yang ba­nyak, menjadikan pernafasan lebih sukar, akhirnya membawa kepada kematian,” kata­nya.

Keadaan itu juga akan me­ng­akibatkan paru-paru Jong-nam­ mengeluarkan bunyi, kata Nur Suraya ketika sesi pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Bi­cara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata demikian dalam perbica­raan terhadap wanita Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat individu yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-21 hari ini melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-21, Pegawai Sains Jabatan Patologi HKL, Nurulhuda Kaidar, 31, memberitahu, paras enzim kolinesterase Jong-nam ialah 344 unit bagi setiap liter (UL) iaitu sangat rendah berbanding paras normal di antara 5,320 hingga 12,920UL.

Ketika disoal balas oleh peguam bela, Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah, Nurulhuda memberitahu, dia tidak mengetahui apa yang menyebabkan paras enzim itu menjadi rendah kerana ia di luar bidang tugasnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.