Saksi pendakwaan keenam, Dr. Mohd. Shah Mahmood memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau membuat dapatan tersebut berdasarkan laporan bedah siasat yang dibuat bersama pakar Perunding Perubatan Forensik HKL, Dr. Nurliza Abdullah dan laporan toksikologi.

“Bagi kes ini, selepas menge­te­pikan punca-punca lain disebabkan penyakit atau kecederaan dan dengan bergantung kepada laporan toksikologi daripada Jabatan Kimia Malaysia, menunjukkan tanda positif kehadiran agen saraf VX (Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methyl­phonothiolate),” katanya.

Saksi tersebut turut menyatakan, secara umum, pemeriksaan dalaman yang dijalankan ke atas Kim Chol mendapati organ dalamannya mengalami kongesi pada sebahagian otaknya, kedua-dua belah paru-paru, hati dan limpa serta bengkak pada paru-paru.

“Paru-paru mangsa menunjukkan keha­diran lebihan cecair dan kongesi. Berat paru-paru kanan mayat ialah 690 gram manakala paru-paru kiri pula seberat 420 gram. Berat paru-paru lelaki dewasa ialah kira-kira 300 gram,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Shah memberitahu, mayat lelaki Korea Utara itu dihantar oleh Unit Kecemasan Hospital Putrajaya ke HKL pada pukul 11 pagi, 13 Februari lalu dan bedah siasat dijalankan pada 15 Februari lalu.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan hari kedua kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Kim Chol bersama-sama empat lagi yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, saksi pendakwaan kelima, Pakar Patologi Kimia, Jabatan Forensik HKL, Dr. Norashikin Othman, 44, menyatakan, walaupun tahap enzim Cholinesterase kedua-dua tertuduh adalah normal, ia tidak bermakna kedua-dua tertuduh tidak terdedah kepada racun VX.

“Bergantung kepada dos, tempoh seseorang itu terdedah de­ngan racun VX dan dinyahkontiminasi dengan cepat juga boleh menyebabkan seseorang itu tidak menunjukkan sebarang perubahan pada enzim Cholinesterase,” katanya ketika menyanggah cadangan yang dikemukakan oleh peguam bela, Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah.

Peguam tersebut sebelum itu mencadangkan bahawa anak guamnya dan Thi Huong menunjukkan paras enzim yang normal ekoran mereka tidak terdedah pada racun itu.

Sewaktu pemeriksaan semula oleh Ketua Unit Bicara dan Rayuan, Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi itu bersetuju bahawa cecair racun VX itu boleh dinyahkontiminasi dengan hanya menggunakan air dan sabun.

Perbicaraan bersambung esok.