Abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un itu juga memberitahu rakannya yang merupakan warga Jepun, Tomie Yoshio bahawa dia merasakan nyawanya terancam di samping memerlukan seorang pemandu.

Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, bagaimanapun menafikan wang tunai berjumlah AS$138,000 (RM539,905) yang dibawa mangsa pada hari kejadian merupakan motif pembunuhan tersebut.

Beliau turut memberitahu sehingga hari ini motif pembunuhan masih belum diketahui.

Saksi pendakwaan kesembilan tersebut dalam keterangannya menafikan Siti Aisyah, 26, merupakan kambing hitam dalam kes pembunuhan tersebut ketika disoal balas oleh peguam bela, Gooi Soon Seng yang mewakili wanita warga Indonesia itu.

“Saya tidak bersetuju Hong Song Hac (Mr. Chang), Ri Ji Hyon (Mr. Y), Ri Jae Nam (Hanamori) dan O Jong Gil (James) merupakan pembunuh sebenar Jong-nam,” kata Wan Azirul Nizam.

Pegawai polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA itu berkata demikian di Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada perbicaraan hari ke-31 terhadap Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, yang didakwa membunuh Jong-nam,45, bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari tahun lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Wan Azirul Nizam bersetuju dengan cadangan Soon Seng bahawa Siti Aisyah telah pergi ke pusat beli-belah, Berjaya Times Square dan membeli seluar jeans jenama Levi’s selepas menyapu ‘sesuatu’ di muka Jong-nam.

Tertuduh yang turut dikenali dengan nama Kelly kemudiannya meneruskan kerjanya di Ningo Spa, Hotel Flamingo sehingga ditangkap di bilik penginapannya di hotel berkenaan pada 16 Februari 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 14 Mac ini. - UTUSAN ONLINE