Botol-botol berisi atropina (atropine) yang merupakan penawar bagi agen saraf termasuk VX dan racun serangga perosak itu diambil daripada beg galas mangsa dan dilabelkan menggunakan bahasa asing.

Ketua Unit Alkohol dan Toksikologi Klinikal, Dr. K. Sharmilah, 38, yang bersetuju dengan semua cadangan daripada peguam bela, Gooi Soon Seng sewaktu disoal balas di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bagaimanapun menjawab ‘tidak tahu’ ketika ditanya sama ada bahasa asing pada label botol penawar adalah bahasa Korea.

Beliau yang bertugas di Seksyen Toksikologi Bahagian Forensik, Jabatan Kimia turut bersetuju dengan cadangan peguam bela itu yang mewakili tertuduh Indonesia, Siti Aisyah bahawa racun serangga perosak juga boleh menyebabkan kematian dan memberikan simptom yang sama se­perti diracun dengan VX.

Bagaimanapun, penggunaan racun serangga perosak untuk membunuh seseorang memerlukan kadar kepekatan yang berbeza dengan VX, katanya.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-23 itu memberitahu, beliau menerima botol-botol berisi atropina itu daripada pihak polis pada 10 Mac lalu bersama-sama tujuh lagi spesimen termasuk sampel rambut dan kuku Jong-nam untuk dijalankan ujian toksikologi.

Sewaktu pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari, saksi tersebut menjelaskan, sebanyak 10 miligram (mg) diperlukan untuk membunuh seseorang melalui penyerapan kulit.

“Jika dibandingkan dengan phorate iaitu jenis racun serangga yang paling toksik dalam kumpulan organophosphate, seseorang itu memerlukan sebanyak 72,000 mg phorate untuk menyebabkan kematian melalui penyerapan kulit,” katanya.

Sharmilah berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat individu yang masih bebas di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-22 hari ini melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-24, Asisten Superintenden Nasrol Sain Hamzah, 38, berkata, usaha polis untuk menjejaki tiga lagi suspek lelaki warga Korea Utara menemui kegagalan kerana mereka telah mendaftar keluar dari Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.