Menjawab pertanyaan peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili wanita Vietnam, Doan Thi Huong sewaktu disoal balas, pegawai polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA itu berkata, kekangan tersebut berpunca daripada pegawai-pegawai atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

NARAN: Sewaktu pemeriksaan utama, saya katakan siasatan awak menerima kekangan. Daripada siapa, Ketua Polis Negara ketika itu?

WAN AZIRUL NIZAM (WAN): Ya.

NARAN: Awak juga terima kekangan daripada Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu?

WAN: Ya.

NARAN: Awak menerima arahan daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, pada ketika itu?

WAN: Ya.

NARAN: Saya katakan siasatan awak dikawal oleh orang atasan awak. Seperti alat kawalan jauh, boleh siasat sana, tak boleh siasat sini.

WAN: Saya tak setuju.

Saksi pendakwaan kesembilan itu turut menafikan beliau tidak menjalankan siasatan yang menyeluruh dan terperinci serta tidak mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengesan empat suspek lelaki Korea Utara yang dikatakan terlibat dalam pembunuhan tersebut bersama-sama dengan Thi Huong, 29, dan wanita Indonesia, Siti Aisyah, 26.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya telah mengemukakan permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan dan menyenaraihitamkan keempat-empat lelaki berkenaan. Sekiranya mereka dikesan di mana-mana tempat di dunia ini, Interpol akan memaklumkan terus kepada Bukit Aman dan saya. Permohonan tersebut saya ajukan kepada Penolong Pengarah Biro Pusat Kebangsaan (NCB)/Interpol, Superintenden Dr. S. Parusuraman pada 23 Februari 2017,” katanya.

Wan Azirul Nizam, 40, bagaimanapun mengakui beliau ada membuat kesilapan namun sebelum sempat saksi tersebut membuat penjelasan, kata-katanya dibentak oleh Naran.

NARAN: Saya katakan siasatan awak tidak menyeluruh, tidak terperinci. Saya tidak kata kesilapan. Saya tanya soalan mudah, awak boleh cakap ya, tidak atau berdiam diri.

WAN: Yang Arif, saya baru nak jawab, peguam dah potong (cakap saya). Saya akui saya juga ada melakukan kesilapan tetapi saya tidak setuju siasatan saya tidak sempurna atau tidak lengkap.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan hari ke-35 terhadap Thi Huong dan Siti Aisyah yang didakwa bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas atas tuduhan membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Empat lelaki Korea Utara yang masih bebas itu dikenali sebagai Mr. Chang atau nama sebenarnya Hong Song Hac, 34; Mr. Y (Ri Ji Hyon),33; Hanamori (Ri Jae Nam), 57, dan James atau O Jong Gil, 55.

Suasana yang pada mulanya agak tegang bertukar ceria sewaktu Naran memohon agar perbicaraan tersebut ditangguhkan sehingga esok pagi kerana beliau memerlukan masa untuk berbincang dengan rakan-rakan peguam yang lain sebelum meneruskan soal balas terhadap Wan Azirul Nizam dan memberi peluang kepada pegawai polis itu untuk menenangkan diri.

“Saya setuju Yang Arif,” celah pegawai polis itu secara tiba-tiba menyebabkan dewan mahkamah gamat dengan gelak ketawa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.