Beliau dilihat memasuki bangunan Jabatan Imigresen pada pukul 10.10 pagi dan keluar kira-kira dua jam kemudian.

Walau bagaimanapun, usaha pemberita untuk mendapatkan kenyataan dari Yu-song tidak berjaya apabila beliau enggan mengulas meskipun diasak.

Antara perkara yang ditanya pemberita termasuk tentang sama ada beliau bertemu dengan Jong-chol, keadaan lelaki itu, keadaan keluarganya dan maklumat penerbangan pulangnya.

"Maaf, saya tiada komen. Mungkin (selepas ini akan keluar kenyataan) sebab sekarang kami sangat sibuk," katanya kepada pemberita yang mengejarnya sehingga ke tempat letak kereta berhampiran bangunan Jabatan Imigresen.

Jong-chol ditahan reman sejak 18 Februari lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim semalam berkata, pihaknya telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan didapati tidak cukup bukti untuk menuduh Jong-chol di mahkamah.

Oleh itu, katanya, polis akan serahkan lelaki itu kepada pihak imigresen hari ini untuk proses penghantaran pulang ke negara asal. 

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dia dihampiri dua wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun yang kemudian disahkan sebagai agen saraf VX. 

Jong-nam yang memegang pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. - UTUSAN ONLINE