Deputi Superitenden Mohammad Nasir Drahman, yang juga Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dalam Mahkamah Koroner berkata, dia berada kira-kira 80 hingga 100 meter dari lokasi kejadian dan terlihat sekumpulan individu membaling objek keras ke arah kenderaan tersebut.

"Kira-kira pukul 1 pagi, dua kenderaan bomba iaitu jentera FRT dan Jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di persimpangan USJ 16. Namun, secara tiba-tiba sekumpulan lelaki disyaki berbangsa India melontar objek keras di hadapan cermin jentera FRT.

"Akibat daripada itu, jentera FRT mengundurkan kenderaan sebelum melanggar jentera EMRS sebanyak dua kali sebelum hilang daripada penglihatan," katanya ketika menjawab Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, seramai 3,000 ke 5,000 individu dianggarkan berada di lokasi dan berkumpul di kuil tersebut.-UTUSAN ONLINE