S. Nimalan, 25, yang merupakan tertuduh keenam dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, arahan untuk membuang tong tersebut diberikan oleh Gunasekaran atau turut dikenali sebagai Jay kepada S. Ravi Chandaran, 47.

Katanya, dia bersama Ravi Chandaran yang juga bapa saudaranya membuang tong dram berkenaan di tepi jalan berhampiran sebuah kolam di Subang Jaya, Selangor pada 5 September 2015.

“Jay beritahu Ravi Chandaran (Ravi) untuk membuang tong tersebut dan saya tanya Ravi bagaimana untuk membuang tong itu kerana berat.

“Ravi suruh saya cari forklift kerana Jay beritahu terdapat sebuah premis berhampiran kedai Jay yang mempunyai jentera berat itu,” katanya ketika menjawab soalan peguam V. Rajehgopal yang mewakilinya ketika pemeriksaan utama dalam perbicaraan peringkat bela diri yang masuk hari ke-12 itu.

Menurut saksi pembelaan kelima itu, tidak lama kemudian seorang lelaki telah datang memandu forklift ke kedai Jay, mengangkat tong itu dan meletakkannya di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Tambahnya, keadaan lokasi untuk membuang tong itu adalah berdekatan sebuah sekolah Cina, terdapat tempat pembuangan sampah serta sebuah kolam.

“Selepas memberhentikan kenderaan yang saya pandu, kami berdua turun dan kemudian menolak tong itu ke bawah dan meletakkannya di tepi kolam,” katanya sambil memberitahu mereka berdua kemudian beredar ke kedai Jay semula.

Nimalan, Ravi Chandaran bersama R. Dinishwaran, 26, A.K. Thinesh Kumar, 25, dan M. Vishwanath, 28, didakwa bersama-sama pakar patologi tentera, Dr. R. Kunaseegaran, 55, membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara itu ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Su­bang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 23 Julai ini.