Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu selepas Fahkrul Rizal Abdul Rahim, 31, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dilakukan di Jalan Kelapa Bulan, Segambut di sini kira-kira pukul 11.19 pagi, 10 Mac 2012.

“Jangan mengubah suai motosikal kamu lagi jika tidak mahu dikompaun atau didenda,” kata Mahyon.

Fahkrul Rizal didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha bernombor pendaftaran WRG 1227 didapati telah melepaskan pencemar gas karbon monoksida (CO) dengan kepekatan sebanyak 5.88 peratus melebihi standard yang dibenarkan iaitu 4.5 peratus daripada paip ekzos kenderaan tersebut tanpa sebarang lesen di bawah Peraturan 10(1), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan daripada Motosikal) 2003.

Lelaki yang sudah berkahwin itu didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama Seksyen 43(2) akta sama serta boleh dihukum di bawah Seksyen 22(3) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian OKS telah ditahan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan semasa anggota menjalankan ujian pelepasan bahan pencemar mendapati bahan pencemar daripada ekzos motosikalnya telah melebihi daripada standard dibenarkan.

Semakan rekod jabatan mendapati OKS tidak mempunyai sebarang lesen daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk melepaskan bahan pencemar melebihi standard itu.

Terdahulu, Fahkrul Rizal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menanggung isteri dan anak malah baru sahaja mendapat pekerjaan.

“Saya mempunyai masalah kewangan dan hanya membawa RM300. Mohon kurangkan denda saya Yang Arif,” katanya.

Pegawai Pendakwa dari JAS Wilayah Persekutuan, Dina Abdul Samad memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kesan udara akibat pelepasan bahan pencemar daripada ekzos motosikal ini akan menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit lelah dan paru-paru serta menyumbang kepada kekurangan keseimbangan ekosistem.

“OKS juga sengaja tidak mahu menjelaskan kompaun yang diberi malah surat peringatan juga telah dihantar ke rumahnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE