Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan setelah selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan mewakili Jamal, 48, yang menghilangkan diri sejak sebulan lalu setelah dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan melepaskan diri daripada jagaan polis.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 30 Julai ini.

Prosiding bermula kira-kira pukul 5 petang dengan galeri awam dipenuhi oleh anggota polis dan imigresen serta timbalan-timbalan pendakwa raya.

Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa dengan sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang ditahan secara sah di sisi undang-undang bagi kesalahan yang telah dipertuduhkan iaitu dua kes di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang dan satu kes mengikut Seksyen 290 kanun sama di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Pu­teri, dekat sini, antara pukul 2 dan 3 petang, 25 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau ke­dua-duanya.

Peguam, Izzat Zabir Sariff yang mewakili Jamal pula memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya tidak berniat untuk melarikan diri dan wujud salah faham antara tertuduh de­ngan peguam terdahulu.

Dalam prosiding sama, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar yang memakai baju T berwarna hitam berada di dalam kandang tertuduh turut merayu jaminan dibenarkan kerana dia kesal atas perbuatannya yang telah melarikan diri sebelum ini.

Jamal yang dilihat sedikit berisi memaklumkan bahawa rumah­nya telah diserbu oleh anggota polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehari selepas dia melarikan diri dari hospital.

“Saya bimbang dengan pertukaran kerajaan malah takut dianiaya oleh kerajaan baharu, saya memohon jaminan diberikan berapa pun jumlahnya dan sanggup pergi ke balai polis setiap hari untuk lapor diri,” katanya.

Terdahulu, sebelum Jamal masuk ke dalam mahkamah dia sempat mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pengamal media dan beberapa anggota polis yang telah menunggu sejak pukul 1 petang.

Sementara itu, seorang peguam Jamal, Datuk Mohd. Imran Tamrin tidak menolak kemungkinan anak guamnya itu akan berdepan dengan kes di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, SPRM sudah memulakan siasatan dan serbuan di rumah Jamal dan ada kertas siasatan di bawah SPRM namun beliau tidak pasti untuk kes atau isu apa suruhanjaya itu membuka kertas siasatan.

Beliau berkata, setelah dibawa pulang dari Indonesia, Jamal sudah bersedia untuk berhadapan dengan enam pertuduhan membabitkan pelbagai kesalahan jenayah.

“Jamal disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan ke­rana menyebabkan kegusaran awam; Seksyen 224 kerana me­larikan diri dalam tahanan yang sah; Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960 dan Akta Imigresen serta Akta Pasport.

“Kami tidak dapat bercakap lama ketika di Indonesia namun, saya tengok beliau bersedia dan berserah sepenuhnya kepada undang-undang negara,” katanya ketika ditemui ketika menunggu ketibaan Jamal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.