Jamal, 47, Reza Jamin, 37, Ariffin Abu Bakar, 47, Mohd. Shabudin Abu Hassan, 47, Izzrul Idris, 22, Hassanen Zikri Harizan, 24, Mohammad Faiz Amirul Mahsan, 22, Mohamad Yusoff Mohamad Sariff, 26, Abd. Razak Hassan, 29, dan R. Balaguru, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sebagai ahli suatu kumpulan perhimpunan yang menya­lahi undang-undang dengan tujuan bersama telah menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bangunan Pusat Beli-belah Ampang Point, Ampang Jaya, dekat sini pada pukul 4 petang, 13 November tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu bertindak agresif dengan cara merempuh halangan pihak polis bagi tujuan membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang, bagaimanapun, peguam Izzat Zabir Sariff yang mewakili semua tertuduh memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua anak guamnya dengan alasan mereka memberikan kerjasama penuh semasa siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada 13 November 2016, Jamal membuat laporan polis selepas mendakwa dia ditumbuk hingga menyebabkan hidungnya berdarah di pusat beli-belah tersebut.

Kejadian itu berlaku ketika Jamal bersama 150 pengikutnya bertembung dengan kumpulan baju kuning yang diketuai Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin ketika kumpulan itu sedang mengedar risalah berhubung perhimpunan Bersih yang diadakan pada 19 November 2016.