Hakim Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya memutuskan demikian selepas mendapati pernyataan yang dibuat oleh Jamal bersifat fitnah sehingga menjatuhkan reputasi Maria dan menimbulkan perasaan benci masyarakat kepadanya.

Pada 7 Oktober 2016, Maria, 62, yang ketika itu pengerusi Bersih 2.0 menyaman Jamal yang merupakan pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) yang dinamakan pihak defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria selaku pihak plaintif mendakwa pada 28 September 2016, Jamal telah memfitnah beliau dalam satu sidang media di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Pada 4 Oktober tahun sama, pihak plaintif mendakwa, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di pekarangan Ibu pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Oktober sama dalam portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Beliau menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan dan injunksi untuk menghalang pihak defendan daripada menyiarkan semula perkataan fitnah itu.

Maria diwakili peguam Latheefa Koya dan N. Surendran manakala Mohamed Nasser Yusof mewakili Jamal. - UTUSAN ONLINE