Jamal, 48, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa dengan sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang ditahan secara sah di sisi undang-undang bagi kesalahan yang telah dipertuduhkan iaitu dua kes di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang dan satu kes mengikut Seksyen 290 kanun sama di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, dekat sini, antara pukul 2 dan 3 petang, 25 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Jamal dibawa oleh anggota polis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat MH710 dari Jakarta, Indonesia tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 3.55 petang.

Pada 2 Julai lalu, Jamal yang diburu polis lebih sebulan lalu ditahan oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada pukul 6.15 petang (waktu tempatan).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dihubungi untuk menyelaras urusan membawa pulang Jamal ke negara ini.

Sebuah portal berita Indonesia, Detik.com, melaporkan Jamal ditangkap di Tebet, Jakarta Selatan. - UTUSAN ONLINE