M. David Desan, 26, didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu terhadap V. Eswari di sebuah unit rumah pangsa di Jalan BP 1/2, Bandar Bukit Puchong, Puchong dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam, 7 April lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dengan niat ingin mendatangkan kegentaran kepadanya dengan mengacu sebilah pisau untuk membunuhnya.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa menjolok mulut isterinya menggunakan pemutar skru yang boleh menyebabkan kematian dan bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Zulkifli tidak menawarkan sebarang jaminan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak memohon diikat jamin.

Hakim S. Mabel Muttiah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Mei ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLINE