Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa notis dan syor untuk mengkaji semula persempadanan pilihan raya di negeri itu, tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman mengikut Aturan 53 Kaedah 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Hakim Vernon Ong yang membacakan penghakiman berkata, panel hakim bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh yang mewakili SPR bahawa sidang yang lebih sesuai bagi bantahan aduan tersebut adalah melalui inkuiri tempatan mengikut Seksyen 5 Jadual Ke-13.

"Oleh itu, kami berpandangan bahawa sebarang tindakan oleh SPR berhubung aduan yang dikemukakan tidak boleh dicabar bagi semakan kehakiman.

"Kami juga memutuskan bahawa walaupun dakwaan berhubung salah pembahagian kawasan dan manipulasi pilihan raya tidak dipertikaikan, Daftar Pemilih prinsipal adalah muktamad dan mengikat serta tidak boleh dicabar di mahkamah untuk semakan kehakiman mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958, kata beliau. - UTUSAN ONLINE