Demikian tegas Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali ketika meminta Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy dan 18 individu lain, tidak membantah permohonan Perkasa untuk menjadi pencelah dalam saman pemula Hindraf untuk mengisytiharkan bahawa pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik sebagai mengancam keselamatan negara.

Selain Waythamoorthy, mereka yang terdiri daripada ahli politik, peguam dan pejuang hak asasi manusia serta ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai pihak defendan.

Ibrahim dalam notis permohonan itu memberi alasan untuk mencelah kerana prosiding yang dibuat oleh Hindraf didakwa menjejaskan hak dan kepentingan umat Islam untuk mendengar dan mendapatkan ilmu secara langsung melalui ceramah dan khutbah disampaikan oleh Tokoh Maal Hijrah 2013 itu.

Notis permohonan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Adnan Sharida di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Kes saman itu yang difailkan pada 1 Mac lalu, dijadualkan untuk pengurusan kes, esok.

Ibrahim dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika ditanya samada Perkasa memperjuangkan Zakir ataupun memperjuangkan Islam berkata, pertubuhan itu memperjuangkan kedua-duanya.

Katanya, pakar perbandingan agama itu menyampaikan ceramahnya kepada orang Islam namun sekiranya ada bukan Islam yang mendengar dan tertarik, tiada siapa yang boleh menghalang.

“Bila perayaan Thaipusam, jutaan manusia berhimpun di Batu Caves dan mendengar ceramah daripada sami-sami terkemuka dunia, malah ada orang Melayu hadir, Perkasa tak halang. Dr. Zakir Naik bercakap di majlis anjuran orang Islam dan jika ada segelintir orang bukan Islam ha­dir untuk dengar tiada siapa boleh halang,” katanya.

Menurut Ibrahim, penceramah terkemuka itu bercakap tentang keamanan dan bukannya menjurus kepada keganasan serta ceramah beliau tidak sepatutnya dijadikan isu dan alasan sebagai mempromosi keganasan memandangkan di universiti juga ada mengajar subjek perbandingan agama.

Beliau turut menyifatkan, memang menjadi agenda Barat apabila ada sahaja kemajuan dalam Islam memang akan ada pihak yang mengecam dengan pelbagai tohmahan.

Menurut Ibrahim, mereka ini hanya untuk mewujudkan persepsi buruk ke atas Zakir kerana kehebatan penceramah itu bercakap dan berhujah atas perbandingan agama.

“Kenyataan dua tiga kerat individu yang melakukan keganasan di India dan Bangladesh tidak wajar dijadikan alasan sebab belum tentu yang mendakwa bercakap betul. Sekadar alasan nak lepas diri.

“Saya harap Waythamoorthy dan kumpulan 18 tidak akan cuba menghalang permohonan saya ini kerana saya baca dalam berita portal, Waythamoorthy nak jemput saya minum teh atas isu ini. Dia cakap saja tapi tak jemput pun.

“Walau bagaimanapun, oleh kerana kesediaannya hendak minum teh dan saya pun nak belanja dia minum susu kambing, eloklah mereka tidak bantah dan jumpa serta berhujah di mahkamah,” kata Ibrahim.