PEGUAM Fahmi Adilah menunjukkan saman yang dikeluarkan oleh Najib Tun Razak terhadap Rosli Yaakop dan Taufek Yahya berhubung isu 1MDB di Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA

Perdana Menteri menamakan Pengarah Urusan Harakah, Dr. Rosli Yaakop yang juga penulis artikel itu bertajuk Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz? (Bhg 2) dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Taufek Yahya masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Najib memfailkan saman dan pernyataan tuntutan tersebut atas kapasiti peribadinya melalui firma guaman,Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini Rabu lalu.

Dokumen saman tersebut diperoleh pemberita hari ini selepas peguam Fahmi Adilah yang mewakili Najib selaku plaintif menyerahkan writ saman itu di pejabat Harakah di sini.

Menurut penyataan tuntutan, Najib mendakwa, perkataan-perkataan yang digunakan sebagai keluarga pertama Malaysia dan Perdana Menteri Malaysia dalam artikel bertarikh 19 Februari lalu itu merujuk kepada dirinya secara spesifik.

Najib mendakwa, akibat daripada penerbitan artikel itu, reputasinya telah terjejas teruk apabila beliau dikecam dalam media sosial serta media massa dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan mengaibkan, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Dakwanya, kerosakan reputasi itu adalah sesuatu yang berpanjangan ekoran artikel terbabit boleh diakses dengan meluas kerana diterbitkan di portal berita yang mempunyai pembaca maya di serata dunia selain maklumat tersebut boleh dikongsi di laman-laman sosial termasuk forum dan blog.

Perkataan-perkataan fitnah tersebut, menurut plaintif, telah mendedahkan beliau kepada rasa benci, cemuhan atau menghina yang menjatuhkan kedudukannya dalam pemikiran masyarakat umum.

Beliau mendakwa, artikel tersebut diterbitkan tanpa sebarang asas dan bukti yang kukuh serta hanyalah tuduhan melulu yang berniat jahat terhadap dirinya.

Najib turut mendakwa, Taufek gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana tidak mengesahkan atau menyiasat kebenaran perkataan-perkataan tersebut sebelum menerbitkan artikel berkenaan.

Beliau mendakwa, ekoran penerbitan itu, reputasinya sebagai ahli politik, Presiden UMNO dan Perdana Menteri terjejas kerana dipersoalkan oleh banyak pihak sama ada di dalam atau luar negara kerana isu skandal rasuah mendapat perhatian umum.

Najib turut menyatakan, beliau melalui peguamnya telah menghantar notis tuntutan kepada defendan pertama dan wakil defendan kedua pada 26 Februari lalu supaya mereka berhenti membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis serta penarikan balik kenya­taan tersebut.

Beliau juga menuntut satu aku janji bahawa pihak defendan tidak akan mengeluarkan kenya­taan fitnah itu atau yang serupa dengannya serta membayar ganti rugi untuk kerosakan reputasi, kos dan perbelanjaan yang ditanggung olehnya.

Bagaimanapun, dakwanya, pihak defendan telah enggan memberi sebarang jawapan bertulis berhubung notis tuntutan itu dan ini menunjukkan mereka tidak berasa kesal atas penerbitan artikel itu.

Dengan itu, Najib menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan atau teladan, faedah serta perintah injunksi untuk menghalang defendan-defendan, pembantu atau mana-mana pihak menerbitkan artikel itu.

Dalam masa sama, beliau memohon satu perintah supaya defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan dalam surat khabar atau majalah.