Bee Geok, 57, merupakan isteri kepada Datuk Seri Stanley Thai atau Thai Kim Sim iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif APLI dan bekas pengarah Supermax Corporation Bhd. (Supermax) yang pernah tersenarai antara 50 individu terkaya di negara ini.

Hakim Azian Othman turut menjatuhkan hukuman serupa terhadap kakak Bee Geok iaitu Tan Bee Hong, 58, pada akhir kes pembelaan bagi kesalahan yang sama. Seramai 13 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan, Bee Geok yang ketika kejadian merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan APLI didakwa sebagai orang dalam telah menyampaikan maklumat yang mempunyai kesan terhadap harga atau nilai saham APLI kepada kakaknya antara 23 Oktober 2007 dan 31 Oktober 2007.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 188(3)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 188(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

Sementara itu, Bee Hong didakwa atas tuduhan melupuskan 350,000 unit saham APLI yang dipegang dalam akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) yang tidak boleh didapati secara umum di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 31 Oktober 2007.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen 188(4) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

Dalam kes berlainan, Stanley Thai, 58, gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk dilantik semula sebagai pengarah syarikat Supermax.

Permohonan itu dibuat oleh Stanley Thai selepas dia dibatalkan kelayakan sebagai pengarah Supermax berikutan sabitan kesalahan menjalankan urus niaga dalaman syarikat sama.

Pada 24 November 2017, Stanley Thai dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM5 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan menyampaikan maklumat harga atau nilai saham APLI yang tidak boleh didapati secara umum antara 26 Oktober hingga 29 Oktober 2007.- UTUSAN ONLINE