Tey Lee Yong, 43, dan anak lelakinya serta dua rakan remaja tersebut yang kesemuanya berusia 17 tahun mengangguk tanda faham sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Azureen Shahirah Sauffee Affandi.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Lee Yong dan anaknya dituduh membunuh suaminya, Kiu Kok Yong, 46, bersama-sama dua rakan anaknya di rumah bernombor 35, Jalan Nusa Bestari 2, 3/6 Iskandar Puteri antara pukul 9.30 dan 10 pagi, 17 Januari lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mohd. Nasir mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Wanita tersebut dan anaknya diwakili peguam bela, Chuah Shyue Chien manakala peguam Ahmad Yusri Ahmad Fuad mewakili seorang lagi remaja ber­kenaan manakala seorang lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 28 Februari ini sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.