Lee Beng Oui, 37, yang bertugas di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Tertuduh didakwa memperoleh wang suapan RM3,000 daripada orang tengah sebagai dorongan meringankan kesalahan Firdaus Asmadi yang ditangkap di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah kepada hanya kesalahan air kencing mengandungi dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di hadapan sebuah rumah beralamat No.1, Blok Ezora, Perumahan Polis Bukit Mentok, Kemaman pada pukul 11.45 malam, 29 Februari 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Putri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 21 Februari ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE