S. Logeshvaran, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Tertuduh didakwa meminta wang itu daripada seorang pekerja asing, S. Ravi sebagai dorongan tidak mengganggu dan menahan lelaki itu.

Dia yang bertugas di Pos PGA Pendas didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah stesen mi­nyak di Nusa Perintis, Gelang Patah, di sini antara pukul 2 hingga 4.40 petang, 12 Jun 2016.

Logeshvaran didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, seorang pe­gawai dan seorang anggota polis turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan berasingan rasuah daripada seorang wanita sebagai dorongan membebaskan suami­nya pada tahun 2015.

Inspektor Isa Ahmad, 30, didakwa meminta RM1,000 daripada Zanariah Mat sebagai doro­ngan membebaskan Wan Karmizi Muhammad yang ditahan pada 19 Disember 2015 daripada lokap.

Tertuduh yang bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Penasihat Undang-Unda ng Nusajaya, di sini kira-kira pukul 3.30 petang pada 23 Disember 2015, manakala Konstabel Rhomarino Rafie, 33, berdepan dua pertuduhan, ma­sing-masing meminta RM10,000 dan RM7,000 daripada Zanariah atas tujuan yang sama.

Rhomarino didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 2 petang.