Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd. Hanafiah Zakaria berkata, tarikh tersebut ditetapkan selepas pihaknya memfailkan dokumen permohonan kes tersebut semalam.

MUHAMMAD ADIB MOHD. KASSIM
MUHAMMAD ADIB MOHD. KASSIM 

Akhbar melaporkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Beliau dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara, Tommy Thomas hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Peguam Negara memaklumkan bahawa selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan Majistret untuk membuat siasatan (inkues) bagi menentukan sebab kematian Allahyarham.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa. - UTUSAN ONLINE