“Ikut posting FB, saya dicaci maki dan dianggap berbohong,” kata Dr. Ahmad Hafizam Hasmi, 40, dari Hospital Kuala Lumpur yang merupakan saksi ke-24 di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Pegawai Pengendali inkues, Hamdan Hamzah mengenai komen kontroversi pengguna Facebook bernama Cik Miera Jumaat lepas susulan kenyataan Dr. Ahmad mengenai kematian anggota bomba itu.

Kenyataan Cik Miera dalam Facebook mengandungi pendapatnya bahawa kematian itu bukan disebabkan oleh kemalangan tetapi oleh serangan ganas.

“We saw the wound, we treat him, we initiated the EMCO (Extracorporeal membrane oxygenation) (Kami lihat luka dan merawatnya, kami lakukan EMCO (oksigenasi membran ekstrakorporeal), katanya.

Pada minggu lepas, Dr. Ahmad yang pertama kali memberikan keterangan dilapor berkata corak kecederaan pada Muhammad Adib adalah tidak sepadan dengan kesan dipukul.

Sehubungan itu, Dr. Ahmad yang lebih 20 kali memberi keterangan dalam pelbagai kes kematian di mahkamah meminta sesiapa yang mempunyai maklumat lain mengenai kecederaan anggota bomba itu untuk tampil memberi kenyataan.

Terdahulu, beliau merumuskan bahawa dalam pemeriksaan klinikal dan bedah siasat ke atas Muhammad Adib, tiada kecederaan yang berpadanan dengan kecederaan dikasari secara fizikal atau keganasan.

“Keterangan saya pada mahkamah berdasarkan kelayakan saya dan ilmu forensik yang ada. Bagaimana si mati mendapat kecederaan itu berdasarkan kebarangkalian yang mungkin.

“Setiap kecederaan yang ada pada badan si mati ketika pemeriksaan klinikal dan bedah siasat sudah didokumen (ditulis) dalam laporan masing-masing (doktor terbabit),” katanya.

Muhammad Adib, 24, anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad sambung 2.30 petang ini. - BERNAMA