Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan tersebut setelah mempertimbangkan perkara itu mengikut Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah.

Rofiah ketika memutuskan perkara itu berkata, kedua-dua pihak tersebut tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substansif dan munasabah.

“Selaku Koroner saya tidak boleh keluar daripada sempadan yang digariskan iaitu Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah. Malah, berdasarkan terma dan identiti peranan jawatankuasa kuil yang ditubuhkan selepas berlaku kes tersebut agak tersasar daripada rujukan.

“Selain itu, begitu juga dengan sebahagian penganut Hindu yang tidak diketahui identitinya. Mereka juga tidak menunjukkan kepentingan untuk turut serta dalam inkues. Setelah mempertimbangkan, mahkamah menolak permohonan kedua-dua pihak,” katanya.

Untuk rekod, jawatankuasa kuil diwakili peguam M. Visvanathan dan R. Karnan manakala Siti Zabedah Kassim pula mewakili sebahagian penganut Hindu.

Pada masa sama, Rofiah membenarkan Majlis Peguam yang diwakili Roger Chan Weng Keng dan Cyrus Tiu Foo Woei menjadi peguam pemerhati dalam prosiding yang akan bermula 11 Februari ini. - UTUSAN ONLINE