Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah yang bertindak selaku Pegawai Pengendali menunjukkan dua video kepada mahkamah di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Dua rakaman video itu adalah rakaman telefon bimbit yang dirakam oleh rakan saksi ke-20, Budd Muhsin manakala video kedua pula ialah rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Dalam rakaman pertama yang berdurasi 46 saat itu, video menunjukkan keadaan kenderaan Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi kejadian untuk memadam sebuah kereta terbakar, namun diserang sekumpulan lelaki menggunakan pelbagai objek.

Rakaman CCTV pula menunjukkan kedua-dua kenderaan bomba itu melalui sebuah kawasan berhampiran lokasi kejadian.

Bagaimanapun, dua minit kemudian kenderaan FRT dilihat cuba meninggalkan lokasi secara berundur sambil diserang sekumpulan lelaki. - UTUSAN ONLINE