Prosiding inkues itu akan bersambung semula selama empat hari bermula 16, 17, 19 dan 22 April dengan memanggil saksi ke-29 bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid.

ADIB

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berkata, prosiding sepatutnya bersambung hari ini tidak dapat dijalankan berikutan Dr. Shahrom tidak hadir kerana hanya disapina untuk tiga hari sahaja bermula Selasa lalu.

“Dr. Shahrom masih diperlukan dan dalam pemeriksaan lanjut oleh Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah.

“Kita juga akan memanggil semula Pakar Bedah Forensik, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi dan Ketua Jabatan Forensik, Datuk Dr. Mohd. Shah Mahmood masing-masing-masing merupakan saksi ke-24 dan ke-27 dari Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Rofiah kemudiannya menetapkan tarikh baharu inkues bermula Selasa hadapan pada pukul 2.30 petang dan mengingatkan supaya pegawai penyiasat membuat permohonan sapina terhadap saksi bagi prosiding akan datang. - UTUSAN ONLINE