Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibu pejabat Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Edwin Galan Teruki berkata, dapatan tersebut diperoleh selepas pihaknya membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua tong gas berkenaan.

Dia yang ketika kejadian bertugas sebagai Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran berkata, kedua-dua injap tersebut juga sudah rosak dan tidak berfungsi berkemungkinan telah dicucuk oleh sesuatu objek.

“Jika sesebuah tong gas itu masih mempunyai gas, apabila injap rosak, gas akan keluar. Selain itu, kita dapati tong gas berkenaan sudah ringan dan apabila dicucuk, tiada gas yang keluar,” katanya dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Edwin berkata demikian ketika disoal oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbicaraan terhadap dua remaja lelaki yang didakwa membunuh 21 pelajar dan dua warden di pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara pukul 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berusia 17 tahun dan diwakili peguam Haijan Omar masing-ma­sing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-27 itu ketika pemeriksaan balas oleh Haijan memberitahu nyalaan api kebakaran tersebut dimulakan daripada petrol dan tong gas berkenaan hanyalah sebagai penggalak.

“Nyalaan api itu adalah daripada petrol, tong gas merupakan penggalak sahaja, bila gas keluar (dari tong gas), api tidak akan menyambar pada tong sebab tong diarah pada pintu asrama, gas itu telah pergi ke pintu,” katanya yang menganggarkan kebakaran itu bermula pada pukul 5.25 pagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.