Perkara tersebut dizahirkan oleh Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Andreano Erwin ketika ditemui selepas tamat prosiding pendakwaan terhadap wanita terbabit dengan seorang wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Keyakinan itu juga dapat dilihat apabila kedutaan terbabit melantik lima peguam bela yang diketuai Gooi Soon Seng bagi mewakili Siti Aishah, 25, dan menjaga kepentingannya.

Ketika ditanya mengenai perbualan ringkasnya dengan tertuduh tersebut, Erwin me­nyatakan, beliau memaklumkan kepada wanita itu bahawa dia tidak keseorangan dalam menghadapi kes itu.

“Saya memberitahunya, Siti Aishah tidak keseorangan dan tidak perlu bersedih, pihak kedutaan akan sentiasa bersamanya. Malah kami bukan sahaja menyediakan seorang pengacara (peguam) tetapi lima pengacara untuk bela kepentingan Siti Aishah. Saya juga maklumkan kepadanya agar jaga kesihatan dan solat,” katanya.

Wakil kedutaan itu turut memberitahu, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada pihak Penjara Malaysia esok untuk mengadakan pertemuan dengan Siti Aishah.

Menjawab persoalan sama ada mana-mana ahli keluarga wanita terbabit akan datang ke negara ini, Erwin menyatakan Siti Aishah pernah memaklumkan kepadanya agar menyampaikan pesan kepada keluarganya supaya tidak datang ke Malaysia.

“Siti Aishah menyatakan tidak perlu keluarganya datang. Mungkin kerana dia tidak mahu keluarganya bersedih. Dia hanya minta doakan dirinya dan agar keluarganya menjaga kesihatan,” tambah Erwin.